Ani Mustapa ; The GIRL Who Love Writing
Read Entry PortfolioFollow
Bunga Kesayangan Kita ~ Oneshort
May 16, 2012 • 4:14 AM • 0 Love Note(s)

              Aku mempunyai seorang teman bernama Ainur. Semasa kami kecil, kami seringkali bermain bersama. Walaupun umur kami berbeza setahun, kami dianggap seperti adik-beradik. Ibu bapa kami berdua berjiran dan mereka sering mengunjungi ke rumah kami. Kami bermain bersama-sama, pergi sekolah bersama-sama, keluar jalan pun bersama-sama. Kami bagaikan aur dengan tebing yang tidak dapat dipisahkan. Setiap kali kami bergaduh, setiap kali itu juga kami berbaik-baik.
            Kami mempunya minat yang sama. Kami suka akan bunga tulip. Tetapi warna yang berlainan. Ainur suka akan warna putih manakala aku suka akan warna merah. Warna kegemaran kami melambangkan keperibadian kami tersendiri. Ainur yang suka akan warna putih kerana Ainur seorang yang lemah-lembut dan baik budi pekertinya. Manakala aku sukakan warna merah kerana aku seorang yang pemalu akan sekeliling, tetapi peramah orangnya.
            Dari lubuk hati kami, kami mengharapkan agar kami dapat melihat ratusan bunga tulip kegemaran kami yang ada di Australia yang akan diadakan pesta pada musim bunga di Canberra, Australia.
            Australia. Dari Malaysia beribu-ribu batu jauhnya untuk menjejaki di negara asing itu. Oleh itu, kami jadikannya satu cita-cita yang besar buat kami. Suatu hari nanti, kami sama-sama akan menjejakkan kaki di tanah asing itu, Insyaallah. Oleh itu, kami bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk berjaya dalam akademik demi mencapai bintang di langit.
            Teringat aku tentang peristiwa yang paling aku sayang yang masih tersemat di jiwaku. Saat aku menerima hadiah bagi menyambut ulangtahun kelahiranku. Ketika itu, aku berumur 8 tahun. Arwah papa aku memberikan patung Teddy Bear sebesar tubuhku. Dan sekuntum bunga tulip berwarna merah yang hidup mekar hingga kini. Bergenang air mataku apabila teringatkan seraut wajah papaku yang telah pergi meninggalkanku lebih 10 tahun. Bunga tulip pemberian papaku itu dipetik dari Australia ketika papaku berhijrah kesana atas urusan kerja.
            “Selamat ulangtahun, sayang. Anak papa seorang ni. Dah besar rupanya, ya?” ucap papaku yang masih ada di muka pintu seraya mendepakan tangannya.
            “Papa!!” jeritku lalu berlari mendapatkan papaku untuk menyambut kepulangannya lalu memeluk papaku erat-erat.
            Setelah itu aku didukung dan berlalu mendapatkan ibuku yang sedang memotong kek untuk papaku. Aku mengucup pipi papaku tanda kasih dan sayangku pada papa. Memang sudah lazim dalam diri aku, setiap kali papaku pulang dari tempat kerja, akulah orang pertama yang akan menyambut kepulangnnya.
            “Papa, papa ada hadiah untuk Ami tak?” soalku penuh manja.
            “Adalah sayang. Jom, papa ambilkan hadiah Ami kat dalam beg” ujar papaku seraya melepaskanku daripada dukungannya. Papaku memimpin tanganku dan berlalu mendapatkan begnya di sisi sofa yang empuk itu.
            “Wau! Besarnya Teddy Bear ni, papa!” ucapku penuh kagum setelah aku menerima pemberian hadiah daripada papaku.
            “Ya, sayang. Tengok ni. Sama tinggi dengan Ami la” ujar papaku. “Eh! Papa lupa pula. Ami ada satu lagi hadiah” ujar papaku lagi.
            Aku hanya menanti dengan perasaan yang penuh teruja. Aku tahu, papa tidak akan pernah mengecewakanku.
            “Papa akan beri tanggungjawab ni pada Ami untuk jaga bunga dengan baik. Kena semai dan jaga bunga ni baik-baik, tau. Jangan  bagi sesiapa pun sentuh bunga ni. Ok?” ujar papaku setelah memberikan aku sekuntum bunga yang cukup cantik berwarna merah hati.
            “Ok! Papa. Tapi, ni bunga apa, papa?” soalku. Sungguh ketika itu aku pertama kali melihat bunga yang asing itu.
            “Namanya bunga Tulip” terang papaku bersungguh-sungguh.
            “ Bunga ulif?” soalku lagi dengan percakapanku cukup petah ketika itu.
            “Bukanlah. Bunga Tulip” terang papaku lagi sambil ketawa mendengar cara percakapanku yang cukup petah. Aku turut ketawa bersama papa lalu aku memeluk erat-erat.
            Sungguh , aku amat merinduimu papa. Bunga yang papa arahkan aku untuk menjaganya masih mekar indah hingga kini.
            Tetapi, tak disangka-sangka, Ainur juga menerima bunga Tulip yang sama tetapi berwarna putih. Rupanya, ayah Ainur adalah rakan sekerja papaku. Mereka berdua sama-sama membangunkan syarikat mereka tersendiri. Aku dan Ainur sama-sama ingin berjaya dan dapat keputusan yang cemerlang. Kami tidak akan menghampakan cita-cita kami.
            Ketika aku menjangkau umur 21 tahun. Aku dapat melihat bintang di langit dengan cukup dekat. Aku merasakan, cita-cita kami akan tercapai suatu hari nanti. Berbekalkan ijazah di tangan yang berusaha bersungguh-sungguh selama 4 tahun dalam menceburi bidang hartanah dapat tercapainya bintang di langit. Oleh kerana, aku menerima tawaran bekerja di Australia. Sungguh aku tidak menyangka semua perkara ini akan tercapai dalam usia muda ini. Manakala, Ainur pula baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan dan sekarang, Ainur diberi cuti 5 bulan. Selepas itu, Ainur akan melangkah kedewasaan dan dapat berdikari sendiri
            Tetapi, 3 bulan seterusnya aku di dalam delima. Hatiku kosong. Seolah-olah jiwaku pergi. Sungguh aku sendiri tidak dapat menerima takdir ini. Aku masih lagi tidak percaya apa yang berlaku.
            AKU MENANTI dengan penuh kesabaran. Baru saja aku menjalani kursus di Terengganu selama 5 hari. Tetapi, 3 hari yang lepas, macam-macam yang berlaku selama ketiadaan aku. Paling aku kecewa, aku langsung tidak tahu menahu bahawa sahabat aku sendiri, Ainur dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi. Dikatakan bahawa semalam, Ainur pengsan secara tiba-tiba. Sehingga hari ini, aku tidak tahu berita terkini daripada doktor kerana Ainur masih belum sedar sekarang. Sungguh aku merasa panik ketika dikhabarkan oleh ibuku tentang Ainur. Sekarang, aku masih setia menanti dengan penuh kesabaran. Bergenang air mataku saat memikirkan tentang keselamatan Ainur. Sungguh aku teramat risaukan Ainur, sahabatku.
            “Ami! Doktor panggil tu” panggil Puan Hawa, ibu kepada Ainur. Teguran itu mematikan lamunanku.
            Aku bingkas bangun apabila doktor wanita yang agak berusia itu berdiri tegak menghadap aku. Aku menanti setiap bait kata-kata yang akan terkeluar sebentar lagi. Wajahnya yang agak pucat itu menambahkan lagi kerisauan aku pada Ainur.
            “ Mak cik. Anak mak cik….menghidap penyakit Barah Otak. Dan Ainur….kami tidak dapat menyelamatkannya” ujar doktor itu dengan suaranya yang tersekat-sekat.
            Puan Hawa hampir jatuh terduduk. Sungguh ia membawa tamparan besar buat aku dan juga Puan Hawa. Aku cuba menenangkan Puan Hawa yang akhirnya duduk di kerusi. Aku hanya mampu menahan sebak di dada. Dari jauh, aku dapat melihat tubuh lesu Ainur ditutupkan dengan kain putih. Kasihan aku melihat diri Ainur. Hanya tinggal beberapa minggu saja aku dan Ainur akan pergi ke Australia. Tetapi Ainur, terpaksa ditinggalkan. Ainur tidak dapat berpeluang ke Australia. Aku dapat merasa kesalnya dalam diri aku. Rasa bersalah mula bercanggah dalam hatiku. Sepatutnya, aku mengisi masa yang penuh untuk Ainur jika aku tahu semua ini akan terjadi. Tetapi, itu semua rahsia Allah S.W.T. Tiada siapa yang dapat menandingiNya.
            Akhirnya, 3 minggu telah berlalu selepas kematian arwah Ainur. Bintang yang kami berdua impikan akhinya tercapai jua. Aku kini berdiri di bumi yang  asing, Australia. Aku tersenyum nipis. Tetapi, disebalik senyuman gembira itu, aku masih terkilan dengan kejadian yang baru terjadi dalam hidupku. Tanpa Ainur untuk bersama aku di tanah asing ini, membuatkan aku sunyi-sepi tanpa gelak tawa Ainur. Seolah-olah diri aku tidak sempurna tanpa Ainur disisku. Aku berharap sangat agar Ainur kini berada bersamaku, berdiri di samping aku melihat pemandangan indah bunga kesayangan kami. Tetapi, itu semua terpaksa dipendamkan saja dalam hati. Aku amat merinduimu, Ainur.
           
            Aku memetik sekuntum bunga Tulip kesayangan Ainur yang berwarna putih. Akanku hiaskan bunga Tulip ini di tanah perkuburan Ainur. Akanku hadiahkan ini untuknya. Inilah bunga kesayangan kita untuk selamanya, Ainur. Dan aku tidak akan pernah menghampakan kau. Ainur, semoga kau ditempatkan dengan orang-orang yang beriman.


TAMAT
OneShort By:
Ani Mustapa

animustapa.blogspot.com

Labels:


OLD / NEW